Confession : Bila Dosa Dijadikan Content, Dan Aib Dijadikan Hiburan
Ada satu penyakit yang makin membusuk dalam kalangan student universiti, budaya confession.
Kononnya luah rasa, kononnya anonymous, kononnya harmless.Banyak confession hari ini bukan lagi ruang nasihat, ia sudah jadi longkang sosial. Tempat orang melondehkan aib, menormalisasikan zina, mempromosikan hubungan haram, membakar nafsu orang lain, dan kemudian ketawa ramai ramai seperti tiada hari hisab.
ALLAH LARANG JALAN ZINA, BUKAN SEKADAR PERBUATANNYA
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan. Surah al Isra, ayat 32
"كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنَ الزِّنَا، مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ، فَعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ، وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ، وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ، وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ، وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَى، وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى، وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ"
Rasulullah menyebut bahawa anak Adam mendapat bahagiannya daripada zina. Mata berzina dengan melihat, telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berkeinginan, dan kemaluan membenarkan atau mendustakannya. Hadis, Sahih Muslim nombor 2657b
Sekarang faham baik baik.
Allah tidak kata jangan berzina sahaja. Allah kata jangan dekati zina.
Maknanya jalan ke arah zina pun dilarang. Chat manja tanpa tujuan. Call malam malam. Keluar berdua. Pegang tangan. Bonceng motor rapat rapat. Duduk dalam kereta gelap. Masuk bilik konon study.
Semua itu bukan romantik. Itu semua mencari kecelakaan.
Confession yang menceritakan aku terlanjur, aku hamil, aku ditinggalkan, aku masih sayang walaupun dia sudah ambil tubuh aku, ini bukan kisah cinta untuk dikongsi pada umum. Ini penindasan rohani manusia.
Masalah kamu bukan kurang kasih sayang. Masalah kamu ialah kamu buka pintu kepada syaitan, kemudian acah terkejut bila syaitan masuk.

Orang masuk hutan tanpa ilmu akan dimakan hutan.
Orang masuk hubungan tanpa iman akan dimakan nafsu.

Orang masuk hutan tanpa ilmu akan dimakan hutan.
Orang masuk hubungan tanpa iman akan dimakan nafsu.
ANONYMOUS TAK BOLEH SEMBUNYI DARIPADA ALLAH
مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia mencatatnya. Surah Qaf, ayat 18
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْSesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam. Sahih al Bukhari nombor 6475
Anonymous hanya sembunyi nama kamu daripada manusia, bukan daripada Allah.
Kamu boleh hantar confession guna fake account. Kamu boleh padam jejak. Kamu boleh buat ayat dramatik. Kamu boleh tunggu orang komen stay strong.
Tapi malaikat tidak confuse dengan username.
Masalah confession page ialah ia sering mengubah dosa menjadi hiburan awam. Aib yang patut ditutup, dibuka. Nafsu yang patut dipadam, disiram minyak. Kisah yang patut dibawa kepada ustazah, kaunselor, ibu bapa, pihak universiti atau klinik, dilambakkan kepada strangers yang lapar drama.
Kalau kamu benar benar mahu berubah, cari bantuan yang betul. Bukan pentas digital yang menjadikan dosa kamu bahan popcorn.
Kamu boleh hantar confession guna fake account. Kamu boleh padam jejak. Kamu boleh buat ayat dramatik. Kamu boleh tunggu orang komen stay strong.
Tapi malaikat tidak confuse dengan username.
Masalah confession page ialah ia sering mengubah dosa menjadi hiburan awam. Aib yang patut ditutup, dibuka. Nafsu yang patut dipadam, disiram minyak. Kisah yang patut dibawa kepada ustazah, kaunselor, ibu bapa, pihak universiti atau klinik, dilambakkan kepada strangers yang lapar drama.
Kalau kamu benar benar mahu berubah, cari bantuan yang betul. Bukan pentas digital yang menjadikan dosa kamu bahan popcorn.
DATA TIDAK MENIPU, NAFSU ADA KOS SOSIAL
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap tiap seorang daripada keduanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah hukuman itu disaksikan oleh sekumpulan orang yang beriman. Surah an Nur, ayat 2
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Wahai para pemuda, sesiapa antara kamu yang mampu berkahwin, hendaklah dia berkahwin, kerana ia lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kemaluan. Sesiapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa. Sahih al Bukhari 5066
Sekarang berhenti berfantasi macam movie
Ini bukan sekadar dua orang suka sama suka. Ini bukan sekadar perasaan. Dalam realiti, dosa seksual ada kos sosial. Kehamilan luar nikah, anak tidak sah taraf, tekanan mental, pembuangan bayi, penyakit kelamin, trauma, keluarga hancur, reputasi musnah, dan masa depan pendidikan terganggu.

Laporan berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri menyebut 67,628 anak tidak sah taraf warganegara direkodkan dari tahun 2020 hingga 31 Oktober 2024. Bagi bukan warganegara pula, jumlah pendaftaran ialah 49,137.
Rekod fasiliti kerajaan dari tahun 2020 hingga 2024 menunjukkan 41,842 remaja perempuan berumur 19 tahun ke bawah direkodkan hamil, dan 16,951 daripadanya melibatkan remaja belum berkahwin.
Ini bukan angka di papan putih.
Ini bayi. Ini ibu muda. Ini keluarga. Ini air mata. Ini masa depan yang dipaksa membayar harga kepada beberapa minit nafsu yang kononnya sweet.
Jangan jadi bodoh terhormat. Pointer tinggi, English cantik, presentation hebat, tapi gagal mengurus syahwat sendiri.
Universiti patut melahirkan manusia matang, bukan manusia yang tahu buat assignment, tapi kalah bila diajak have s*x
KONDOM BUKAN LESEN ZINA
Surah al Muminun, ayat 5 hingga 7
وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ
إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ
فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang orang yang melampaui batas.
Hadis Sahih al Bukhari nombor 52
إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِYang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya ada perkara samar yang ramai manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjauhi perkara samar, dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.
Sekarang dengar sini.
Kondom mungkin mengurangkan risiko tertentu dari sudut kesihatan awam, tetapi kondom tidak membersihkan dosa. Kondom tidak menjadikan hubungan haram sebagai halal. Kondom tidak membina maruah. Kondom tidak menjamin kamu tidak hancur secara emosi. Kondom tidak memberi nasab. Kondom tidak menukar terlanjur menjadi bertanggungjawab.
Malaysia sendiri mempunyai syarikat pengeluar kondom utama dunia, Karex, yang dilaporkan membekalkan lebih 5 bilion kondom setahun kepada jenama besar dan program kesihatan awam antarabangsa.
Tetapi lihat realiti. Angka anak tidak sah taraf masih muncul. Angka remaja hamil belum berkahwin masih muncul. Confession aku pregnant, boyfriend lari masih naik.
Ini bukan bukti kondom menyebabkan zina,
Ini bukti bahawa alat tidak akan menyelamatkan manusia yang tiada disiplin iman.
Masalahnya bukan semata mata alat perlindungan tidak cukup. Masalahnya ialah disiplin runtuh, iman longgar, nafsu dijadikan ketua, agama dijadikan aksesori majlis, bukan sistem kawalan hidup.
Kondom ialah alat kesihatan awam dalam perbincangan tertentu. Tetapi dalam kerangka iman, ia bukan tiket untuk merempuh sempadan Allah.
CONFESSION YANG MENORMALISASI DOSA ADALAH OPERASI MEROSAKKAN UMMAH
Ayat Quran, Surah an Nur, ayat 19
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Sesungguhnya orang orang yang suka terhebahnya perkara keji dalam kalangan orang orang yang beriman, mereka akan beroleh azab yang pedih di dunia dan di akhirat, dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
Hadis Sahih al Bukhari nombor 6069
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ، فَيَقُولَ: يَا فُلَانُ، عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ، وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
Semua umatku akan dimaafkan kecuali orang yang terang terangan melakukan dosa, termasuk orang yang melakukan dosa pada malam hari, lalu Allah menutup dosanya, tetapi pada pagi hari dia sendiri menceritakannya.
Bukan semua confession perlu disiar.
Admin confession page yang menyiarkan cerita lucah, cerita zina, cerita aib, cerita hubungan haram secara detail, kamu bukan platform suara pelajar. Kamu sedang jadi tukang canang maksiat.
Dan pembaca yang komen, spill lagi, part dua, relate gila, kamu bukan pemerhati neutral. Kamu sedang bantu dosa itu jadi budaya.
Kalau ada pelajar benar benar dalam masalah, hamil, dipaksa, diugut, trauma, ditinggalkan, ketagih pornografi, terjebak zina, bantu dia cari saluran betul. Bukan jadikan dia bahan hiburan.
Bezakan antara nasihat dan sensasi.
Nasihat membawa orang keluar dari lubang.
Sensasi menjual tiket supaya ramai orang tengok dia tenggelam.
LELAKI YANG AMBIL TUBUH WANITA TANPA NIKAH ITU BUKAN GENTLEMAN, ITU PENGECUT
Ayat Quran, Surah an Nisa, ayat 1
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu bermula daripada diri yang satu, dan yang menjadikan daripadanya pasangannya, dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.
Hadis, Jami at Tirmidhi nombor 3895
Maksud hadis
Sebaik baik kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku.
Lelaki yang ajak perempuan buat maksiat, kemudian bila hamil dia hilang, itu bukan lelaki. Itu beban masyarakat yang berjanggut ego.
Dia pandai pujuk. Dia pandai janji. Dia pandai main emosi.
Kalau kamu belum mampu datang rumah, jumpa wali, bina nafkah, pikul amanah, jangan berlakon macam suami. Kamu bukan romantik. Kamu sedang mencuri hak yang belum halal.
Dan perempuan, dengar sini juga.
Jangan serahkan maruah kepada lelaki yang pengecut nak bertanggungjawab di depan ayah kamu. Kalau dia hanya berani dalam chat, dalam kereta, dalam bilik, tapi takut jumpa keluarga, itu bukan romantik, itu lari dari tanggungjawab.
Cinta yang benar membina jalan halal. Sedangkan Cinta yang haram membina perangkap, kemudian menyalahkan mangsa bila perangkap tertutup.

JALAN PULANG MASIH ADA, TAUBAT BUKAN CAPTION, TAUBAT ADALAH OPERASI MENYELAMATKAN DIRI
Ayat Quran, Surah Hud, ayat 114
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ
Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang dan pada waktu waktu yang berhampiran dengannya daripada waktu malam. Sesungguhnya amal amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang orang yang mahu beringat.
Ayat Quran, Surah at Taubah, ayat 118
وَعَلَى الثَّلَاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا حَتَّىٰ إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنْفُسُهُمْ وَظَنُّوا أَنْ لَا مَلْجَأَ مِنَ اللَّهِ إِلَّا إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka, hingga apabila bumi yang luas ini terasa sempit kepada mereka, dan jiwa mereka pula terasa sempit, serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat lari daripada Allah melainkan kembali kepadaNya, kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka terus bertaubat. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.
Hadis, Jami at Tirmidhi nombor 2499
Maksud hadis
Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik baik orang yang melakukan kesalahan ialah orang yang bertaubat.
Kisah Kaab bin Malik bukan kisah manusia suci. Ia kisah manusia bersalah yang tidak mahu menyelamatkan diri dengan penipuan.
Dia tertinggal daripada Perang Tabuk tanpa alasan yang benar. Ramai orang munafik datang memberi alasan palsu. Kaab boleh menipu. Tetapi dia memilih jujur. Akibatnya berat. Dipulaukan, jiwanya sempit, bumi terasa sempit, tetapi dia tidak lari daripada proses taubat.
Inilah taubat sebenar.
Bukan "aku dah move on" sambil masih chat orang sama.
Bukan "doakan aku berubah", sambil masih simpan gambar, video, nombor, dan akses kepada maksiat.
Bukan "aku trauma", tetapi masih ulang tempat, ulang tabiat, ulang circle, ulang dosa.
TAUBAT YANG SERIUS ADA DISIPLIN
Pertama, berhenti.
Putuskan jalan dosa. Block jika perlu. Tukar rutin. Jangan romantikkan perpisahan haram.
Kedua, menyesal.
Bukan menyesal sebab kantoi. Menyesal sebab melanggar hak Allah.
Ketiga, jangan ulang.
Kalau kamu masih simpan laluan lama, kamu bukan bertaubat. Kamu cuma berehat sebelum jatuh lagi.
Keempat, ganti dosa dengan amal.
Hud ayat 114 bukan ayat motivasi kosong. Ia arahan operasi. Solat, buat kebaikan, isi hidup dengan amal yang memadamkan bekas dosa.
Kelima, cari bantuan betul.
Kalau melibatkan kehamilan, penyakit, paksaan, ugutan, gangguan seksual, depresi, atau trauma, pergi kepada orang yang layak. Keluarga yang boleh dipercayai, kaunselor universiti, pegawai agama, klinik kesihatan, atau pihak berkuasa.
Jangan biarkan confession page menjadi doktor palsu kepada luka sebenar.
Kaab bin Malik selamat bukan kerana dia pandai berlakon baik. Dia selamat kerana dia jujur, sabar dalam hukuman sosial, dan kembali kepada Allah tanpa syarat.
MEDIA SOSIAL BUKAN KEM BEBAS NAFSU
Confession di saluran yang betul boleh jadi ruang nasihat jika dijaga. Tetapi jika ia dipost ke media sosial, ia perlu ditegur. Kalau netizen tidak mampu menjaga komen, diam. Kalau pelaku dosa mahu berubah, cari jalan taubat, bukan tepukan digital.
Ingat ini.
Dosa yang Allah tutup, jangan kamu buka.
Nafsu yang Allah suruh kawal, jangan kamu jadikan identiti.
Aib yang patut dirawat, jangan kamu jadikan content.
Dan kalau kamu sudah jatuh, bangun. Jangan baring dalam lumpur sambil minta orang panggil itu healing.
Allah masih buka pintu taubat. Tetapi pintu taubat bukan hiasan. Ia perlu dimasuki dengan jujur, dengan sakit, dengan disiplin, dan dengan keputusan tegas untuk tidak kembali ke jalan yang sama.
Jangan jadi pendaki yang bangga naik gunung tanpa ilmu.
Dalam hidup, gunung paling bahaya bukan Everest.
Gunung paling bahaya ialah nafsu sendiri, bila kamu panjat tanpa iman, tanpa ilmu, tanpa takut kepada Allah.

Rujukan ayat Quran
Surah al Isra ayat 32, Surah Qaf ayat 18, Surah an Nur ayat 2, Surah al Muminun ayat 5 hingga 7, Surah an Nur ayat 19, Surah an Nisa ayat 1, Surah Hud ayat 114, Surah at Taubah ayat 118.
Rujukan hadis
Sahih Muslim 2657b, Sahih al Bukhari 6475, Sahih al Bukhari 5066, Sahih al Bukhari 52, Sahih al Bukhari 6069, Jami at Tirmidhi 3895, Jami at Tirmidhi 2499.
Rujukan data
Laporan anak tidak sah taraf berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri bagi tempoh 2020 hingga 31 Oktober 2024.
Laporan kehamilan remaja bawah 19 tahun berdasarkan rekod fasiliti kerajaan 2020 hingga 2024.
Laporan Reuters berkenaan Karex sebagai pengeluar kondom utama dunia yang membekalkan lebih 5 bilion kondom setahun.
MOHAMMAD AMJAD HAZIQ BIN MOHD ASHARI
MA Student in Tafsir, Faculty of Ulum Islamiah, Al-Azhar University, Cairo. Student, Mufti Training Program, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Egypt. BA in Ulum Islamiah (Usuluddin), Al-Azhar University, Cairo



